Dari
jauh kelihatan kanak-kanak itu terkedek-kedek pulang dari sekolah,
menuju ke rumah bahagia. Kotak fikiranku mula melayang ke ruang angkasa
lepas lalu membuka pintu memori yang telah lama ku kunci dengan seribu
kepahitan dan aku campakkannya lubuk hati yang paling dalam.
Perjalananku
ke taman impian bagai diiringi dengan tangisan simpati oleh pohon-pohon
kecil dan air tasik yang berkocak tenang. Usah kau bersimpati denganku
wahai alam kerana aku akan berusaha mengubah nasibku ini. Ketibaanku ke
sekolah bagai tidak dialu-alukan oleh kanak-kanak kecil. Mataku mula
berpinar-pinar setelah tubuhku tumbang ke bumi realiti ini. Kepalaku
bagaikan dihentak kuat dan dapatku rasakan cecair merah likat mengalir
deras keluar dari kepalaku. Apalah dosaku ini wahai rakan? Adakah hujan
batu yang kau lemparkan itu tanda kebencian yang membara terhadap
diriku? Aku sedar yang aku tidak punyai apa-apa melainkan ibu dan bapaku
yang ku cintai. Aku sedar yang aku hanyalah anak kepada seorang petani
miskin. Namun aku tidak harus diperlakukan sebegini. Walaupun keluarga
aku miskin, namun kami masih mampu berusaha dengan titik peluh kami
sendiri untuk meneruskan hidup.
Aku
tidak menghiraukan anak sungai darah yang mengalir turun membasahi
kepalaku. Dari jauh aku dapat melihat kelibat Cikgu Rogayah sedang
mengajar anak-anak kecil mengenal apa itu tambah dan tolak. Telingaku
menangkap patah demi patah perkataan yang meluncur keluar daripada mulut
Cikgu Rogayah. Keinginanku untuk belajar kian membara. Tiba-tiba
telingaku bingit kerana pekikan syaitan yang lantang.
“Hei
kau, jangan berani kau datang sini lagi. Jangan kau ganggu anak-anak
bangsa berlajar. Nyah kau dari sini. Tempat ini bukan untuk kau!”.
kata-kata kejam pengawal itu begitu menusuk jiwa ragaku. Dengan perasaan
berat hati, aku mula mengorak langkah longlai meninggalkan tempat
harapanku untuk berjaya kelak. Manik-manik mutiara yang suci jatuh
bertaburan ke bumi dan tidak dapat lagi aku mengutipnya. Sempatku
menoleh ke arah wajah Cikgu Rogayah yang sayu melihatkan aku melangkah
pergi. Aku malu!
“Yusof,
kenapa dengan engkau ini? Apa yang telah kau buat sampai jadi begini?”.
Ibu meluru mendapatkan aku bagaikan dirasuk hantu. Apa yang ingin aku
katakan? Dibuli rakan sebayaku atau terjatuh longkang? Aku tidak mampu
dan tidak rela melafazkan kata-kata itu. Aku hanya berdiri kaku membisu
di sisi ibuku. Memang aku dikenali sebagai seorang budak nakal yang
sering datng ke sekolah secara curi-curi oleh penduduk kampung.
Matahari
mula memancarkan sinar harapannya ke bumi derita ini. Seperti biasa,
kaki-kaki kecil halus ini berlari anak ke sekolah yang aku sayang itu
dan seperti biasa aku diejek, dihina, dan dicerca oleh anak-anak yang
tidak matang itu. Radar mataku telah berjaya mengesan Cikgu Rogayah yang
sedang mengajar anak-anak murid mengenai operasi tolak. Namun,
pembelajaran aku tergangu dengan tepukan dari belakang yang cukup
menggerunkan. Aku kaget seketika dan cuba melarikan diri apabila orang
yang menepukku ialah pengawal bengis yang memarahiku semalam. Namun
usahaku hanyalah sia-sia apabila pergelangan tanganku dipegang erat dan
tubuhku diheret ke bilik guru besar.
“Saya
mendapat laporan bahawa awak telah mengganggu pelajar lain semalam.
Benarkah?” guru besar nampaknya telah memulakan tugasnya sebagai penyoal
siasat polis. Aku hanya terpaku dan terkedu apabila cikgu sanggup
melemparkan tuduhan itu kepada diriku. Tidakkah cikgu sedar bahawa diri
ini dahagakan ilmu pengetahuan? Tiba-tiba Cikgu Rogayah masuk dan
menjelaskan keadaan sebanar kepada guru besar. Setelah mereka
berbincang, Cikgu Rogayah menyampaikan berita gembira yang mungkin akan
mengubah nasibku ini.
“Tahniah
Yusof. Pihak sekolah bersetuju untuk memberi awak biasiswa untuk
pembelajaran awak di sini. Mulai hari ini, awak tidak perlu curi-curi
datang ke sekolah ini. Awak boleh datang ke sekolah ini seperti
kanak-kanak lain” jelas Cikgu Rogayah.
Bolehkah
aku mempercayai kata-kata itu? Ya, sudah tentu. Aku mempercayai
kata-katamu cikgu. Aku berlari ke rumah membawa segunung harapan dan
cita-cita untuk keluargaku. Air mata ibu bapaku berlinangan apabila
mendengar berita ini.
“Yusof,
berdiri. Sekarang cikgu hendak awak selesaikan masalah matematik itu”
arah Cikgu Rogayah. Aku berdiri dan melangkah dengan gagah menuju ke
papan hitam lalu ku coretkan angka-angka yang dahulunya tidakku kenali.
Terukir senyuman di wajah Cikgu Rogayah apabila mata beliau tertumpu
pada jawapan yang aku tulis. Cikgu sedar yang dia tidak membuat
kesilapan dengan mencadangkan nama aku untuk menerima biasiswa. Senario
itu berlanjutan sehingga aku berumur 12 tahun setengah. Ketika itu aku
sedang pulang ke rumah dengan keputusan cemerlang digenggam erat di
tangan. Ibu sedang menyapu sampah manakala ayah sedang berkebun.
Dari
jauh aku ternampak kelibat ibu mula terbatuk-batuk. Batuknya itu
bertambah serius apabila ibu memuntahkan cecair merah yang likat. Oh
Tuhan, apakah ujian yang Kau berikan kepadaku. Sesungguhnya hambaMu ini
hanya mampu berserah kepadaMu. Bapa yang sedang sibuk berkebun bergegas
mendapatkan ibuku yang mula hilang keseimbangan. Bapaku mendukung ibu
menuju ke hospital. Perjalanan payah itu disertai dengan jeritan batinku
yang meraung kesedihan. Orang kampung hanya memandang kami tanpa
menghulurkan bantuan. Ke manakah hilangnya sifat kemanusiaanmu?
Bapa
tiba tepat pada waktunya di hospital. Ibu dirawat dengan sebaiknya
namun memerlukan penjagaan rapi dan bekalan ubat yang berterusan. Bagai
sudah jatuh tangga, terhantuk pula keadaan keluarga kami. Bapa mendapat
sakit tulang belakang setelah mendukung ibu ke hospital. Memang benar
bahawa bapa tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Kini kedua ibu
bapaku sakit dan memerlukan penjagaan rapi dan ubatan yang mencukupi. Oh
bulan, apakah yang harus aku lakukan? Aku berada di persimpangan
dilemma. Kedua-dua jalan ini merintih memanggil namaku. Namun, maafkan
aku ilmu. Memang aku sayangkanmu namun sayangku kepada kedua ibu bapaku
ternyata lebih dari itu.
Aku
membantu keluarga aku dengan berniaga pada siang hari. Pada sebelah
malam pula, aku menganyam tikar dan bakul untuk dijual di kedai
kraftangan di kota. Segala pengorbanan yang aku lakukan ternyata
berbaloi apabila ibu dan bapaku pulih daripada penyakit mereka.
Kini,
empat puluh lima tahun telah berlalu dan aku hanya mampu mngenang
kembali peristiwa dulu. Aku tidak ingin anak-anakku menerima nasib yang
sama denganku. Aku memberi pendidikan yang sempurna untuk anak-anakku.
Kini, aku hanya mampu berdoa agar mereka menjadi insan yang berguna. Dan
aku hanyalah seorang lelaki tua yang duduk di anjung rumah di atas
bukit.
Hitam Manis
Januari 2006
No comments:
Post a Comment