Kedamaian
bayu yang membelai cukup mengasyikkan. Kehijauan nyata memberi
ketenangan abadi kepada jiwa. Oh sentosa, dampingilah tubuh lemah ini
agar kau menjadi sebahagian daripada diriku ini. Air yang berlari ceria
itu sarat dengan anak-anak ikan comel yang sibuk bermain bahagia. Monyet
dan siamang bergayutan pada pohon yang tersenyum ceria dan melindungi
hidupan di bawahnya daripada panahan cahaya matahari yang panas membara.
Kadang-kala terdengar siulan burung-burung diselangi dengan irama-irama
alam mencipta melodi yang menghiburkan dan merancakkan suasana sepi
rimba. Namun, bunyi sumbang telah merosakkan melodi indah.
Sungguh
enak sekali buah di rimba ini bagaikan madu lebah yang pekat dan manis.
Dalam keasyikan aku menikmati buah, kedengaran siren kecemasan berbunyi
menggesa kami untuk lari ke tempat perlindungan. Sudah terlalu lama
kami tidak mendengar teriakan kecemasan si siamang.
“Ada
apa kau memberi amaran kepada kami? Janganlah kau sampaikan berita
ngeri kepada kami. Cukuplah dengan penyeksaan batin kami melihat saudara
kita di kampung sebelah terseksa” ujar pak gajah.
“Benar
kata pak gajah itu. Kami semua telah bosan dengan karenah manusia yang
mementingkan diri sendiri bagai enau melepaskan pucuk masing-masing.
Tindak tanduk mereka nampaknya telah dikuasai oleh kegelapan ketamakan.
Oh manusia, sedarlah kamu daripada lamunan indahmu” sambung abang
beruang.
“Begini,
semasa aku sedang bergayut pada pohon tualang, aku dapat melihat
sekumpulan manusia sedang bersiap sedia untuk menerangkan hutan milik
kita. Tergenggam erat pemotong pokok yang menggerunkan dan raksasa yang
begitu besar. Rimba kita dalam bahaya!” tambah siamang.
Semua
haiwan menggelengkan kepala tanda kesal atas perbuatan makhluk yang
bernama manusia. Bukankah mereka ditugaskan untuk menguruskan alam ini
berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah? Ke manakah sifat khalifahmu itu? Dan
kini, mengapa kaummu juga yang menghancurkan alam ini? Bukankah manusia
dan haiwan wajar hidup bersama saling menghormati hak masing-masing?
Inilah nafsu ketamakan yang tak mampu kau kawal.
“Ayuh,
jangan kita membuang masa. Mari kita bergegas ke tempat ke sana memberi
amaran kepada saudara kita yang lalai dengan keindahan dunia” tegas aku
memberi arahan. Ular yang sedang nyenyak tidur dikejutkan oleh gegaran
yang ganas dan tidak berhati perut. Perlahan-lahan pokak yang selama ini
gah berdiri kini mula tumbang menyembah bumi. Si nuri yang ternampak
sang ular terjatuh itu segera menyelamatkannya dan membawanya ke tempat
selamat dengan bantuan sayap keikhlasan.
Awas!
Kekejaman nafsu ketamakan mula menghantui rimba suci ini. Habis
pohon-pohon kematangan jatuh menghempap bumi. Oh Tuhan, tolonglah kami
menentang kejahatan yang bereluasa saat ini. Kezaliman mereka terus
berpanjangan meninggalkan kesan keperitan kepada bumi ini. Kami hanya
mampu mendengar sedih jeritan kesakitan pokok yang rebah ke bumi. Siren
kecemasan sekali lagi berbunyi.
“Pelanduk,
saya mempunyai berita buruk kepada rimba ini. Semoga rimba ini tidak
menangis. Kita kini telah kehilangan si nuri, penyelamat rimba yang
banyak berjasa kepada rimba ini. Pemergiannya amat dirasai kita semua.
Beliau ’pergi’ ketika menyelamatkan anak-anaknya yang baru menetas
daripada dipanggang oleh kebuasan api. Beliau berjaya menyelamatkan
anak-anaknya namun beliau terperangkap dalam kemaraan api ketika cuba
melariakan diri” ucap siamang dengan nada kesedihan.
Semoga
Tuhan merahmatinya. Adakah ini yang kau mahu wahai manusia? Puaskah
engkau melihat anak-anak kecil itu membesar tanpa kasih sayang seorang
ibu? Janganlah kerana kepentingan kau sendiri, pihak lain yang menerima
padah akibat kecuaian kau sendiri. Janganlah kau mendustakan diri
sendiri kerana kelak kau akan menyesal.
“Kita
bersedih atas pemergian wira kita itu. Namun kita jangan mengalah. Kita
masih boleh menentang mereka. Kita mempunyai rakan-rakan yang kuat dan
bertenaga. Lihat sahaja pak gajah, abang beruang, dan tuan harimau.
Manusia tentu akan melarikan diri ketakutan” kataku dengan semangat.
“Tapi
jangan kau lupa wahai pelanduk. Mereka mempunyai peralatan yang cukup
untuk menghantar kita ’pergi’ jauh dari bumi ini. Mungkin kau terlupa
pelanduk. Tuan harimau yang kita sanjung itu telah tewas dalam tangan
zalim manusia. Semangat yang kita ada tidak mencukupi. Kita memerlukan
tidakan yang dapat merealisasikan impian kita” bantah siamang.
Tuan
harimau? Ya, baru kini aku ingat. Manusia memang kejam. Mereka ratah
kulit tuan harimau untuk dijualkan dalam pasaran gelap. Bukankah manusia
bertanggungjawab telah mewartakan spesies harimau sebagai haiwan
terancam. Wahai penegak keadilan, jalankanlah tugasmu dengan adil dan
saksama. Hukumlah mereka yang telah melakukan dosa hina itu. Api
kemarahan dan hujan kesedihanku bertambah apabila si belalang
menyampaikan berita yang lebih buruk kepada kami.
“Pelanduk,
hari ini saya terdengar perbualan manusia. Menurut mereka, pihak
syarikat bersetuju untuk membina kilang memproses bahan kimia di tanah
rimba kita yang telah dirampas itu” terang si belalang.
Dua
tahun telah berlalu. Kilang itu telah siap dibina dan mula memuntahkan
asap syaitan ke udara suci kami dan memuntahkan cecair toksik ke sungai
indah kami. Kini tiada lagi anak-anak ikan yang bebas bermain. Yang
tinggal hanyalah ikan-ikan yang dahulunya ceria, tenat dan menderita.
Udara yang dulunya jernih kini menjadi gelap bagai malam tidak
berpenghujung. Kami semua menderita manahan perit penderitaan. Namun
mereka masih tidak sedar kesengsaraan kami. Apa yang bermain dalam minda
mereka hanyalah keuntungan yang tanpa batasan. Wahai sisa-sisa pejuang
terdahulu, janganlah engkau tewas dengan ketamakan nafsumu. Bangun dan
tentanglah kejahatan syaitan di muka bumi ini. Jangan pudarkan harapan
kami.
Hitam Manis
Januari 2006
No comments:
Post a Comment