Sunday, October 11, 2015

Bumi Ini Milik Kita

“Pedih lagi perit jiwa menahan penderitaan batin yang menyiksa tanpa belas kasihan. Biar mata ini menyaksikan realiti kekejaman dunia ini yang rakus bagaikan harimau membaham mangsanya. Pergi kau durjana persetan. Nyah kau dari bumi suci ini dan hancur luluhlah setiap cebisan tubuhmu yang meratap sedih meminta belas kasihan. Titisan merah itu jelas meragut pangkal jiwaku hilang dalam kebuasan manusia.

    “Kuntom, cepat kau ke mari. Lekas” kata-kata itu nyata membangkitkan aku daripada lamunan kemarahan. Perlahan-lahan aku meningalkan balai polis itu bersama Jasamurni meninggalkan tubuh-tubuh kaku yang dihinggapi kaki-kaki hina lagi keji. Lantas aku menyentap tangan Jasamurni.

    “Jasa, tidakkah kau lihat bangsa kita dibunuh kejam oleh makhluk hina dan sial itu? Jangan jadi pengecut, Jasa. Masakan bapamu berjuang habis-habisan mempertahankan tanah tumpah darah kelahiran, inikan pula kau. Jangan biar ketakutan memenjara dirimu”.

   
“Kuntom, jangan kau anggap aku pengecut. Kau lihat mereka, bangsa kita, tumpas dengan besi terbang yang menembusi daging suci mereka. Kita melarikan diri bukan kerana kalah, tetapi kita akan menyusun strategi dan mengumpul tenaga untuk berlawan dengannya”. Benar kata-katamu Jasa. Ya, kami akan bersatu menentang kau penjajah. Kami menyusur denai-denai derita menuju ke tempat perlindungan orang kampungku. Semuanya hawa. Di sinilah tempat pengecut-pengecut itu menyembunyikan diri daripada tentera yang bagaikan semut tidak bertenaga. Dari jauh kelihatan tubuh-tubuh halus melangkah terhuyung-hayang ke tempat yang tidak berdestinasi. Kesedihan menyelubungi hati kalbu tatkala melihat bangsaku terseksa menderita di bumi mereka sendiri. Di mana kau wahai pejuang tanah air? Oh bumi, kau jawablah persoalanku ini.

    “Ke mari wahai anak bangsaku. Ambillah buahan ini yang baru kupetik dalam perjalanan ke sini. Inilah buahan yang tumbuh dengan air mata kesengsaraan kita semua. Janganlah kamu tidak berusaha wahai manusia. Berusahalah kamu dan jangan kamu tewas dalam tangan ketakutan dan kemalasan” jerit batinku dengan harapan menaikkan semangat mereka semua. Namun, seperti biasa, merreka hanya bersahaja dan membisukan mulut yang lesu tidak bermaya. Aku pergi ke kali untuk menagkap ikan.

    “Jangan kau terlalu mendesak mereka Kuntom. Mereka semua dalam keadaan tertekan dan trauma. Ada yang baru kehilangan keluarga. Mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan keadaan baru ini ujar Jasa. Aku percaya, dalam hati mereka terkunci semangat yang membara setinggi gunung. Hanya menanti kunci kesedaran yang dapat membebaskan semangat ini. Dan jelas bahawa aku bukanlah kunci itu hanya kerana aku seorang wanita. Aku percaya, suatu hari nanti akan bangkitlah bangsaku menentang musuh durjana.

    Hari-hari berikut adalah hari yang biasa dan menjadi norma kehidupan. Namun hanya ketakutan telah merampas ketenangan hari indah. Rabu, aku  bersama jasa meredah hutan kedamaian untuk mencari secebis rezeki.

    “Lihat Jasa, pelanduk ini telah mengena jerat kita. Syukur ke hadrat Illahi kerana memberi sinar harapan unuk kami terus hidup dan berjuang demi agama, bangsa, dan negara yang suci ini” , tidak seperti biasa, Jasa tidak membalas kata-kataku ini. Sebaliknya telingaku dapat menagkap pekikan pertolongan . Jasa! Kau tidak apa-apa? Aku terus memecut ke titik pekikan itu.

    Terpaku mataku melihat sukujur tubuh bernafas dilumuri dengan dakwat merah. Jasa dan aku bekerjasama mengusung tubuh bernyawa itu ke tempat perlindungan kami. Dengan pantas, Mak Bibah, seorang pengamal perubatan tradisional menerpa ke arah adam itu dan memberi rawatan yang sebaiknya. Maafkan kami wahai tubuh berdarah. Kami tidak dapat menyediakan perubatan moden yang sempurna seperti di kota-kota maju, sebaliknya hanya perubatan tradisional. Bukan kami enggan belajar ilmu itu, Cuma kami disisihkan dalam pelajaran. Sudah separuh hari lelaki ini tidak menyedarkan diri. Akhirnya, pergerakan jarinya membawa harapan kehidupan untuk lelaki ini.

    “Di manakah aku ini? Siapa kau?”.
   
    “Jangan kau ragu wahai lelaki cedera. Dirimu kini berada dalam jajahan selamat dalam tapak perlindungan kami. Nampaknya kecederaanmu hampir sembuh. Namaku Kuntom. Dirimu? Jangan kau takut sedangkan kita satu bangsa yang wajar saling menolong”.

    “Namaku Bohari. Aku berkhidmat dengan tanah air untuk memelihara kedaulatannya. Musuh kita telah melepaskan tembakan kejam tepat mengenai bahu kiriku. Syukur kerana ditakdirkan untuk kau menemui aku dan merawatku. Nampaknya aku masih boleh berjuang demi tanah air  tercinta ini”.

    Aku hanya tersenyum dalam ketika mendengar kata-katanya itu. Dalam dirimu itu penuh dengan niat suci sepertiku jua. Kita sehaluan. Permintaan aku agar Bohari dapat memberi ucapan untuk menaikkan semangat telah berjaya kerana dia adam dan aku hawa.

    “Wahai insan-insan yang bernama Melayu. Jangan kau berasa malu dipanggil Melayu kerana bumi ini milik kita. Jangan kau tewas dengan mereka. Sanggupkah kau melihat anak cucu kita hidup menderita dan melarat dalam tangan penjajah jepun itu?  Jangan kita asyik beromong kosong. Ayuh kita tunaikan kata-katamu itu. Nescaya kita akan menikmati kebebasan penuh senyuman tanpa batasan. Inilah masanya. Inilah saatnya. Mari kita bersatu menumpaskan mereka”. Ucapan Bohari diiringi dengan sorakan kemanusiaan sejati dan linangan mutiara kesedaran. Syabas Bohari!

    Perancangan teliti telah dibuat untuk menghalau Jepun dari bumi Masjid Tanah ini. Semuanya lengkap dan  bersedia. Jangan kau berani menjejakkan kaki kejimu lagi di bumi suci ini wahai jahanam. Nyah kau dari sini.

    Sekali lagi, bumi ini dibanjiri darah kator lagi hina yang kejam lagi keliru. Maafkan kami bumi kerana terpaksa merasa keperitan jiwa kami. Kau lihat wahai imperialis. Jangan kau impi ingin merampas bumi ini daripada anak jati Melayu. Inilah tanah kami membesar. Moga anak cucu kami bebas hidup bagai bangau yang terbang berkicauan. Majulah wahai bangsaku. Janganlah kau putus asa. Bangun dan terus membangun buktikanlah kepada dunia bahawa bumi ini milik kita.


Hitam Manis
Januari 2006

No comments:

Post a Comment