Mataku tercari-cari akan sinar kebenaran dalam kegelapan malam likat yang menyelubungi hati. Aku kaget lagi keliru betapa sukar untukku memahami apa yang sedang aku alami tatkala ini. Perasaanku, aneh. Sungguh, emosi ini bagaikan fenomena yang berkocak tanpa henti hingga tubuh kerdil ini lesu cuba untuk kekal berdiri teguh. Adakah cahaya itu sudah meninggalkan aku buat selamanya? Adakah aku kesorangan dalam menempuhi arus kegelapan yang menenggelamkan pemikiranku sedikit demi sedikit? Ketika mindaku sedang sibuk untuk mencari jalan kebenaran yang sekelumit pun tidak kelihatan, jari-jemariku mula merangkak kecil ke sana dan ke mari yang diiringi dengan penuh harapan.
Dalam sibuk aku meneroka persekitaranku, kedengaran suatu bisikan yang sangat ku kenali mengganggu perhatianku. "Mana? Di mana kau? Kau sudah pulang ke asalan, manusia. Masa kau sudah tamat wahai manusia. Pulanglah kau ke pangkuan yang Esa, manusia."
Tamat? Manusia? Mungkin benar sudah tiba masa untuk hayatku menemui titik noktah setelah sekian lama aksara-aksara jalan hidupku rancak tertulis tanpa henti. Mungkin inilah pembalasan atas segala dosa nista yang telah aku taburkan saat demi saat, minit demi minit, jam demi jam, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun, sepanjang usia muda dan dewasaku. Mungkin inilah pengakhirannya setelah sekian lama aku mencari jawapan dan kesudahan hidup ini. Aku sudah bosan! Aku sudah tewas!
"Tewas. Kau telah tewas, manusia!"
Tewas? Manusia? Ya, aku telah tewas! Adakah segala kecapaianku berakhir dengan begini sahaja?! Bukankah aku ini khalifah di muka bumi ini? Bukankah jasa-jasaku dijulang setinggi mahligaiku. Andai aku bersuara, maka bergoncanglah dunia ini dan andai aku bermadah, maka hancur luluh lah sejuta alam. Suaraku adalah panduan bagi mereka yang mencari kebenaran. Suaraku adalah anugerah alam yang disanjung dan dipuja sehingga air mata darah menitis ke bumi mengakui kebesarannya. Tewas itu bukanlah suatu kebenaran. Aku tahu itu hanyalah dusta. Itu hanyalah mimpi. Suara itu hanyalah sekadar picisan murahan. Suara itu hanyalah mainan dunia.
"Bangunlah manusia. Sedarlah manusia. Bangkitlah manusia. Ini bukanlah mimpi yang kau sangkakan indah belaka. Ini bukanlah mainan dunia yang dusta semata. Lihatlah akan sekeliling kau. Kau keseorangan. Sepi. Sunyi. Bangunlah. Bangkitlah. Sedarlah."
Tidak! Hentikanlah semua ini, aku rayu, aku pujuk yang maha Esa. Aku tidak mahu bangun lagi jika hidupku hanyalah mainan. Ditolak ditarik tanpa henti, tanpa aku mampu mengawal kemudi nakhoda ini. Tidak! Tidak! Tidak!
Perlahan demi perlahan, mataku kelam, sayup. Hilang. Sunyi. Padam.
Hitam Manis
Mac 2015
No comments:
Post a Comment