Sunday, October 11, 2015

Cahaya

Mataku tercari-cari akan sinar kebenaran dalam kegelapan malam likat yang menyelubungi hati. Aku kaget lagi keliru betapa sukar untukku memahami apa yang sedang aku alami tatkala ini. Perasaanku, aneh. Sungguh, emosi ini bagaikan fenomena yang berkocak tanpa henti hingga tubuh kerdil ini lesu cuba untuk kekal berdiri teguh. Adakah cahaya itu sudah meninggalkan aku buat selamanya? Adakah aku kesorangan dalam menempuhi arus kegelapan yang menenggelamkan pemikiranku sedikit demi sedikit? Ketika mindaku sedang sibuk untuk mencari jalan kebenaran yang sekelumit pun tidak kelihatan, jari-jemariku mula merangkak kecil ke sana dan ke mari yang diiringi dengan penuh harapan.

Dalam sibuk aku meneroka persekitaranku, kedengaran suatu bisikan yang sangat ku kenali mengganggu perhatianku. "Mana? Di mana kau? Kau sudah pulang ke asalan, manusia. Masa kau sudah tamat wahai manusia. Pulanglah kau ke pangkuan yang Esa, manusia."

Tamat? Manusia? Mungkin benar sudah tiba masa untuk hayatku menemui titik noktah setelah sekian lama aksara-aksara jalan hidupku rancak tertulis tanpa henti. Mungkin inilah pembalasan atas segala dosa nista yang telah aku taburkan saat demi saat, minit demi minit, jam demi jam, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun demi tahun, sepanjang usia muda dan dewasaku. Mungkin inilah pengakhirannya setelah sekian lama aku mencari jawapan dan kesudahan hidup ini. Aku sudah bosan! Aku sudah tewas!

"Tewas. Kau telah tewas, manusia!"

Tewas? Manusia? Ya, aku telah tewas! Adakah segala kecapaianku berakhir dengan begini sahaja?! Bukankah aku ini khalifah di muka bumi ini? Bukankah jasa-jasaku dijulang setinggi mahligaiku. Andai aku bersuara, maka bergoncanglah dunia ini dan andai aku bermadah, maka hancur luluh lah sejuta alam. Suaraku adalah panduan bagi mereka yang mencari kebenaran. Suaraku adalah anugerah alam yang disanjung dan dipuja sehingga air mata darah menitis ke bumi mengakui kebesarannya. Tewas itu bukanlah suatu kebenaran. Aku tahu itu hanyalah dusta. Itu hanyalah mimpi. Suara itu hanyalah sekadar picisan murahan. Suara itu hanyalah mainan dunia.

"Bangunlah manusia. Sedarlah manusia. Bangkitlah manusia. Ini bukanlah mimpi yang kau sangkakan indah belaka. Ini bukanlah mainan dunia yang dusta semata. Lihatlah akan sekeliling kau. Kau keseorangan. Sepi. Sunyi. Bangunlah. Bangkitlah. Sedarlah."

Tidak! Hentikanlah semua ini, aku rayu, aku pujuk yang maha Esa. Aku tidak mahu bangun lagi jika hidupku hanyalah mainan. Ditolak ditarik tanpa henti, tanpa aku mampu mengawal kemudi nakhoda ini. Tidak! Tidak! Tidak!

Perlahan demi perlahan, mataku kelam, sayup. Hilang. Sunyi. Padam. 

Hitam Manis
Mac 2015

Simpan Hati Sura

“ Sura cukup bahagia saat ini. Memang segalanya telah lengkap di dunia ini bagi Sura. Andai kata Sura ditakdirkan terikat dengan si dia, Sura tak perlukan  dunia ini. Kebahagiaan dalam dakapannya ialah dunia Sura” bisik hati kecil aku dalam kegelapan malam yang menutupi bintang-bintang yang bersinar ceria.

    Kahadiran si dia telah memberi sinar bahagia yang kehangatannya memberi sinar-sinar kepastian bagi diriku. Namun, kadang kala, dapat kurasa yang si dia bukan milikku. Apatah lagi dia bagai bintang gemerlapan dan aku hanyalah bumi yang terus menanti bintang untuk jatuh ke riba. Cintaku sentiasa dihalang insan berbisa. Namun, aku tak akan mengaku kalah dan tewas dalam tangan dia. Katakanlah wahai bulan, dia cintakan aku juga.

    Aku terus manyapu cekap lantai pejabat yang bersinar bagai cermin. Ahad pagi yang nyaman bagaikan menyambut diriku gembira. Dalam keasyikan aku menyapu sampah, dari jauh telinga aku dapat menangkap bunyi yang telah lama hati ini menanti. Kelibat si dia bagai datang menyapaku.

“Selamat pagi encik”, tanpaku sedari aku memberi salam pertama kepada si dia. Hanya senyuman yang dilemparkan kepada diriku.

Kerinduan yang mencengkam jiwaku kini telah terhurai dengan kemanisan senyuman dia. Alangkah bahagia jika aku dapat menatap senyumannya itu yang bak mawar merah mekar di dalam taman hati. Aku hentikan igauan yang memenjaraku sebentar tadi. Kadang kala, aku sengaja menjengah ke dalam pejabatnya mencuri melihat wajah manjanya itu. Ah, sememangnya dia milik mimpiku. Dalam aku mengilatkan lantai, aku sedar aku dijeling oleh mata-mata yang penuh dengan kebencian dan kesombongan.

“Kau lihat tu Tijah, bukan main nampaknya perempuan jalang tu. Tak sedar dia tu siapa, nak pikat boss kita pula” setiap patah perkataannya itu menikam jantungku yang biasa ditikam sedemi rupa. Jiwaku hanya membisu dan terus membisu membiarkan mulut-mulut kejam itu melancarkan api-api durjana. Biar apa yang mereka katakan, niat ini akan terus mempertahankan cinta suci ini walaupun api setinggi gunung membahamku.

Aku terus menjalankan tugas dengan teliti sehingga ke suatu meja yang amat asing bagiku. Dalam sekelip mata, berdiri sekeping badan yang tercoreng mukanya dengan warna sarkas dan bibirnya berkilat dengan lip stick. Alangkah ruginya dia kerana wajah indahnya diselaputi dengan debu-debu wangi.

“Hoi kau! Nama kau Sura kan. Kau jangan nak menggatal kat sini okay. Sudahlah kau budak baru kat sini. Untuk pengetahuaan kau, boss kita tu, Encik Kamal, aku punya tau tak! Kau tengoklah cermin sikit. Muka kau tu tak layak berada di sampingnya. Sudahlah duduk merempat. Nak makan pun tak ada apa-apa. Kau ingat nama aku, Ija. Jangan kau dekat dengan boss kita. Kalau tidak, perempuan bernama Ija akan kenakan kau. Faham?!”

    Benar. Memang benar keluarga aku miskin. Tapi kami tidak sepatutnya dihina dan dicerca sedemi rupa. Kami masih punya hak. Kami masih ada maruah yang tak wajar dihumban ke mana-mana. Mataku penuh dengan api kemarahan yang tak pernah kuderitai sebelum ini. Ingin saja tanganku menghinggap di pipinya itu. Namun kewarasan keimananku menegahku melakukannya. Aku segera beredar dari situ dengan hati yang padat dan parah dengan api kemarahan dan hujan kepiluan.

    Malam mula melelapkan matanya meninggalkan dunia diselimuti kenyamanan malam. Malam yang dihiasi dengan derita jiwa dan tangisan kebebasan yang kami idamkan. Kukeluarkan beberapa keping besi perak dan sekeping not bewarna biru. Roti dan air mineral untuk adik-adikku di rumah sayu. Kimi 10 tahun dan Jimi 7 tahun menanti penuh dengan harapan merasa makanan enak di hujung lidah. Semenjak kehilangan ibu dan bapa dalam kemalangan jalan raya yang ngeri, kami bergantung pada mak su Lijah untuk meneruskan sisa perjuangan hidup. Jalan raya menjadi musuh utama dalam hidupku.

    Aku menyarungkan baju putih kekuningan ke badanku yang kurus menampakkan susuk tubuhku. Aku mengiringi Kimi dan Jimi ke pintu rumah mak su Lijah untuk dijaga semasa ketidaanku pergi ke sekolah.

“Kimi, Jimi, nanti dengar kata mak su Lijah tahu. Jangan nakal-nakal. Mak su lijah, tolong jagakan mereka ya. Sura ingin ke sekolah.”

“Baiklah Sura. Jaga diri baik-baik ya. Jangan lupa belajar bersungguh-sungguh.” pesan mak su Lijah.

    Hari ini Cikgu Farid ingin mengajar kelas kami mengenai gelombang. Dia merupakan guru fizik untuk kelas kami sejak tahun lepas lagi. Semua subjek yang aku ambil aku suka. Genting sungguh tahun ini memandangkan SPM mula menjelmakan diri menghampiri kami. Guru-guru di sekolah ini amat mengambil berat akan aku semenjak peristiwa perit dan pahit itu menghantui aku. Mereka memberi galakan kepada aku untuk terus membangun menjulang ke puncak yang tudak pernah dicapai orang lain. Aku simpan kata-kata itu dengan cermat di dalam hati pilu ini.

Hari ahad menjelma sekali lagi bagai mengalu-alukan kehadiran aku. Setelah puas memendam rasa mendalam dalam jiwaku ini, aku tekad untuk berterus terang kepadanya.aku memberanikan hati ini untuk berkata dengannya. Seperti minggu lepas, Ija membebel bagai nenek tua yang tidak berhenti bercakap. Dari jauh, aku lihat kelibat wanita yang anggun baru sahaja keluar dari pejabat Encik Kamal. Siapakah dia? Aku tidak peduli siapa dia kerana dia tidak penting bagiku. Aku melangkah dengan harapan mengiringi aku bersama-sama. Daun pintuku ketuk lembut.

“Masuk”.

“Oh, Cik Mastura, boleh saya bantu awak?” kata-kata syahdu itu jelas meluncur keluar dari mulut encik kamal. Aku terus meluru kepadanya dan hampir memeluknya. Namun pegangan agama terusku pegang.

“Encik kamal, encik telah mencuri hati saya” entah bagaimana kata-kata itu terpacul daripada mulut suci ini.

“Cik Mastura, saya berharap agar awak tidak berkecil hati.saya faham perasaan awak namun saya terpaksa memulangkan hati awak kembali. Minta maaf kerana saya terpaksa melakukan ini. Awak masih dalam alam pesekolahan dan tahun ini merupakan tahun yang penting untuk awak. Saya tidak mahu pelajaran awak tergangggu kerana memikirkan soal cinta. Sebenarnya, saya juga telah jatuh cinta dengan awak. Namun,saya telah bertunang. Maafkan saya.”  

“Ini ialah tunang saya, Shelly. Shelly, ini pekerja saya, Cik Mastura” ujar Encik Kamal apabila seorang wanita masuk ke dalam pejabat.

Tunang?! Tidak! Aku tidak sanggup menerimanya. Derita ini tak sanggupku tangung. Oh dunia, kau sungguh kejam! Bunga hati ini gugur rebah ke bumi dan layu bersama-sama bunga lain yang senasib denganku. Manik-manik mutiara jatuh ke bertaburan bumi. Biarkan hati ini diracuni bisa bermadu.


Hitam Manis
Januari 2006


Selamat Tinggal Kota London


“Josh, ke mana kau ingin pergi?”

    Aku? Aku ingin pergi ke mana? Kenapa kau risau? Kau tahu siapa aku? Aku ialah tiada siapa dalam diari dunia ini. Ke mana aku pergi bukan urusanmu. Biar aku terbang bersama burung-burung yang bebas beterbangan di angkasa luas. Terlalu banyak derita yang menyiksa batinku di sini. Kehilangan ketamadunan dalam dirimu dan kawan-kawanmu merupakan suatu tragedi yang menyentuh pangkal jiwaku. Dunia ini kejam. Perlahan-lahan aku melangkah longlai meninggalkan rumah yang disewa oleh matt dan aku. Biarkan memori pahitku terkubur di sana.

    “Encik, ke London international Airport segera” pintaku kepada pemandu teksi yang kelihatan baru menceburkan diri dalam bidang ini. Pemandangan di luar sana sungguh indah, pokok-pokok yang tumbuh ceria dan bunga-bunga yang kembang bahagia. Musim bunga memang indah dari zahir tapi pahit dan perit daribatinnya. Adakah ini salahmu wahai musim bunga? Rumah flet itu semakin lama semakin menghilangkan wajahnya. Bangunan-bangunan tinggi yang melonjak ke udara itu bagai peluru berpandu yang  menanti menghentam sasarannya. Dalam kota inilah deritaku memakann diri ini. Selamat tinggal kota London. 25 paun dollar kuhulurkan pemandu teksi itu yang nyata girang mendapat hasil titik peluhnya yang pertama. Destinasiku tidak ditentukan lagi.

    Perlahan-lahan aku menyelak muka-muka surat peta yang ku pegang erat di tanaganku. Dalam kesibukan menyelak peta dunia, mataku tertumpu ke sebuah negara yang entah bagaimana menarik perhatianku untuk terus menatapnya.  Ya, inilah negara yang akanku tuju.

“Cik, saya ingin membeli tiket penerbangan ke malaysia. Business class ya” pintaku penuh sofistikated.

“Baiklah. Terdapat dua penerbangan ke Malaysia yang dijadualkan pada minggu ini. Penerbangan pertama iaitu penerbangan MH 3210 akan bertolak pada 10.30 malam ini manakala penerbangan kedua iaitu penerbangan MH 4320 akan bertolak pada pada hari rabu ini. Encik ingin membuat tempahan pada penerbangan yang mana satu?” tanya wanita bernama Susan itu.

“Penerbangan MH 3210. lagi cepat lagi bagus” jawabku ringkas.

Menoleh ke jam tangan pemberian guruku ini, aku mempunyai masa lebih kurang 3 jam lagi sebelum penerbangan berlepas ke destinasi yang telah ditetapkan. Masa terluang ini aku manfaatkan dengan menikmati kopi British yang terkenal dengan aromanya, buat kali terakhir. Nyata kelazatan kopi in menghanyutkan aku ke dalam lamunan.

“Come on Josh, inilah peluang kita. Bukan selalu kita dapat pergi ke disko M yang popular itu” pelawa Matt bersungguh-sungguh dengan harapan aku dapat menemaninya melakukan dosa terhina di tempat kotor. Maafkan aku Matt. Pelawaanmu itu terpaksa kutolak. Sedarlah wahai kawanku, aku bukan manusia jenis itu. Memang aku sudah bosan dan jelik dengan kehidupan sesetangah masyarakat British. Mereka mengamalkan gaya hidup bebas bagaikan haiwan liar yang tidak berantai. Melakukan perkara kehendak mengikut sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain. Such a sellfish. Dan aku tidak tahan dengan cara hidup ini. Benarkan aku terbang bebas ke tempat yang penuh dengan peradaban.

“Panggilan terakhir kepada penumpang-penumpang MH 3210. Sila berada di atas kapal terbang sekarang juga kerana kapal terbang akan berlepas dalam masa 10 minit lagi”.

    Nyaris-nyaris aku ketinggalan kapal terbang. Melalui pengamatanku, pesawat milik MAS ini agak maju teknolginya. Mataku meliar mencari tempat duduk yang telahku tempah. Tempat duduk telah kujumpai, bersebelahan dengan seorang wanita yang menutup kepalanya dengan sehelai kain. Aku sering terjumpa wanita seperti ini di London semasa aku berlajar dahulu.

    “May I sit next to you?” aku meminta kebenaran daripada wanita ini. Wanita ini hanya tersenyum dan menganguk tanda setuju. Sungguh sopan dan baik budi bahasa wanita ini.

“Melancong?” tanya wanita ini dengan penuh sopan.

“Bolehlah dikatakan begitu. Cuma perlancongan ini tidak dirancang sepenuhnya. Saya tertarik dengan Malaysia. Saya ingin tahu mengenai Malaysia dengan lebih mendalam” balas aku untuk menjawab pertanyaan wanita ini.

“Baguslah kerana encik telah membuat keputusan yang tepat. Malaysia memang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Terdapat banyak pusat perlancongan yang boleh dilawati sekiranya encik ingin menenangkan fikiran. Antara kawasan perlancongan yang encik boleh lawat ialah Pulau Tioman, Tasik Kenyir, Taman Negara, dan negeri Melaka Bandaraya  bersejarah. Encik juga boleh membeli belah di pusat-pusat membeli belah yang terkenal seperti Berjaya Times Square, Sogo, The Mines,Jusco dan banyak lagi”.

“Orang Malaysia?” Wanita ini tersenyum dan mengangguk bangga menjadi anak Malaysia.

“Apa gunanya negara maju namun rakyatnya masih mundur dari segi pemikiran. Saya sudah bosan dengan kehhidupan ini seperti di london yang penuh dengan noda dan dosa” perli aku.

    “Jangan kerana nila setitik rosak semua susu sebelanga. Bukan semua orang di dunia ini seperti itu. Saya faham dengan perasaan encik namun encik tidak boleh membuat tuduhan melulu. Bagi rakyat Malaysia, adalah menjadi satu kewajipan untuk berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Keharmonian hari ini terbentuk hasil daripada sikap tolak ansur dan perpaduan antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Hal ini adalah bersesuain dengan adat dan tuntutan agama” bangkang wanita ini.

“Apakah kata-katamu  ini benar?”soal aku dengan penuh perasaan ingin tahu.

“Saya tidak dapat membuktikan sekarang. Namun encik akan sedar bahawa kata-kata encik itu salah apabila encik sampai di Malaysia nanti” jawab wanita ini dengan tegas. Masa berlalu dan akhirnya kapal terbang mendarat di tanah yang bernama Malaysia.

“Sebelum berpisah, siapa nama saudari?”

“Mira bt Yusof, nama encik?

“Josh Stewart. Panggil saya Josh sahaja. Semoga kita berjumpa lagi”balas aku dengan tenang.

    Sebulan telah berlalu dan ternyata kata-kata Mira itu benar. Pada suatu hari, aku terserempak dengan Mira dalam sebuah kedai buku dan kami berborak seketika. Hatiku kini di sini dan tidak lagi di London. Kini, hati ini juga telah dicuri.


Hitam Manis
Januari 2006

Jalan Ini

Dari jauh kelihatan kanak-kanak itu terkedek-kedek pulang dari sekolah, menuju ke rumah bahagia. Kotak fikiranku mula melayang  ke ruang angkasa lepas lalu membuka pintu memori yang telah lama ku kunci dengan seribu kepahitan dan aku campakkannya lubuk hati yang paling dalam.

    Perjalananku ke taman impian bagai diiringi dengan tangisan simpati oleh pohon-pohon kecil dan air tasik yang berkocak tenang. Usah kau bersimpati denganku wahai alam kerana aku akan berusaha mengubah nasibku ini. Ketibaanku ke sekolah bagai tidak dialu-alukan oleh kanak-kanak kecil. Mataku mula berpinar-pinar setelah tubuhku tumbang ke bumi realiti ini. Kepalaku bagaikan dihentak kuat dan dapatku rasakan cecair merah likat mengalir deras keluar dari kepalaku. Apalah dosaku ini wahai rakan? Adakah hujan batu yang kau lemparkan itu tanda kebencian yang membara terhadap diriku? Aku sedar yang aku tidak punyai apa-apa melainkan ibu dan bapaku yang ku cintai. Aku sedar yang aku hanyalah anak kepada seorang petani miskin. Namun aku tidak harus diperlakukan sebegini. Walaupun keluarga aku miskin, namun kami masih mampu berusaha dengan titik peluh kami sendiri untuk meneruskan hidup.

    Aku tidak menghiraukan anak sungai darah yang mengalir turun membasahi kepalaku. Dari jauh aku dapat melihat kelibat Cikgu Rogayah sedang mengajar anak-anak kecil mengenal apa itu tambah dan tolak. Telingaku menangkap patah demi patah perkataan yang meluncur keluar daripada mulut Cikgu Rogayah. Keinginanku untuk belajar kian membara. Tiba-tiba telingaku bingit kerana pekikan syaitan yang lantang.

“Hei kau, jangan berani kau datang sini lagi. Jangan kau ganggu anak-anak bangsa berlajar. Nyah kau dari sini. Tempat ini bukan untuk kau!”. kata-kata kejam pengawal itu begitu menusuk jiwa ragaku. Dengan perasaan berat hati, aku mula mengorak langkah longlai meninggalkan tempat harapanku untuk berjaya kelak. Manik-manik mutiara yang suci jatuh bertaburan ke bumi dan tidak dapat lagi aku mengutipnya. Sempatku menoleh ke arah wajah Cikgu Rogayah yang sayu melihatkan aku melangkah pergi. Aku malu!

“Yusof, kenapa dengan engkau ini? Apa yang telah kau buat sampai jadi begini?”.  Ibu meluru mendapatkan aku bagaikan dirasuk hantu. Apa yang ingin aku katakan? Dibuli rakan sebayaku atau terjatuh longkang? Aku tidak mampu dan tidak rela melafazkan kata-kata itu. Aku hanya berdiri kaku membisu di sisi ibuku. Memang aku dikenali sebagai seorang budak nakal yang sering datng ke sekolah secara curi-curi oleh penduduk kampung.

    Matahari mula memancarkan sinar harapannya ke bumi derita ini. Seperti biasa, kaki-kaki kecil halus ini berlari anak ke sekolah yang aku sayang itu dan seperti biasa aku diejek, dihina, dan dicerca oleh anak-anak yang tidak matang itu. Radar mataku telah berjaya mengesan Cikgu Rogayah yang sedang mengajar anak-anak murid mengenai operasi tolak. Namun, pembelajaran aku tergangu dengan tepukan dari belakang yang cukup menggerunkan. Aku kaget seketika dan cuba melarikan diri apabila orang yang menepukku ialah pengawal bengis yang memarahiku semalam. Namun  usahaku hanyalah sia-sia apabila pergelangan tanganku dipegang erat dan tubuhku diheret ke bilik guru besar.

    “Saya mendapat laporan bahawa awak telah mengganggu pelajar lain semalam. Benarkah?” guru besar nampaknya telah memulakan tugasnya sebagai penyoal siasat polis. Aku hanya terpaku dan terkedu apabila cikgu sanggup melemparkan tuduhan itu kepada diriku.  Tidakkah cikgu sedar bahawa diri ini dahagakan ilmu pengetahuan? Tiba-tiba Cikgu Rogayah masuk dan menjelaskan keadaan sebanar kepada guru besar. Setelah mereka berbincang, Cikgu Rogayah menyampaikan berita gembira yang mungkin akan mengubah nasibku ini.

“Tahniah Yusof. Pihak sekolah bersetuju untuk memberi awak biasiswa untuk pembelajaran awak di sini. Mulai hari ini, awak tidak perlu curi-curi datang ke sekolah ini. Awak boleh datang ke sekolah ini seperti kanak-kanak lain” jelas Cikgu Rogayah.

    Bolehkah aku mempercayai kata-kata itu? Ya, sudah tentu. Aku mempercayai kata-katamu cikgu. Aku berlari ke rumah membawa segunung harapan dan cita-cita untuk keluargaku. Air mata ibu bapaku berlinangan apabila mendengar berita ini.

    “Yusof, berdiri. Sekarang cikgu hendak awak selesaikan masalah matematik itu” arah Cikgu Rogayah. Aku berdiri dan melangkah dengan gagah menuju ke papan hitam lalu ku coretkan angka-angka yang dahulunya tidakku kenali. Terukir senyuman di wajah Cikgu Rogayah apabila mata beliau tertumpu pada jawapan yang aku tulis. Cikgu sedar yang dia tidak membuat kesilapan dengan mencadangkan nama aku untuk menerima biasiswa. Senario itu berlanjutan sehingga aku berumur 12 tahun setengah. Ketika itu aku sedang pulang ke rumah dengan keputusan cemerlang digenggam erat di tangan. Ibu sedang menyapu sampah manakala ayah sedang berkebun.

Dari jauh aku ternampak kelibat ibu mula terbatuk-batuk. Batuknya itu bertambah serius apabila ibu memuntahkan cecair merah yang likat. Oh Tuhan, apakah ujian yang Kau berikan kepadaku. Sesungguhnya hambaMu ini hanya mampu berserah kepadaMu. Bapa yang sedang sibuk berkebun bergegas mendapatkan ibuku yang mula hilang keseimbangan. Bapaku mendukung ibu menuju ke hospital. Perjalanan payah itu disertai dengan jeritan batinku yang meraung kesedihan. Orang kampung hanya memandang kami tanpa menghulurkan bantuan. Ke manakah hilangnya sifat kemanusiaanmu?

   
    Bapa tiba tepat pada waktunya di hospital. Ibu dirawat dengan sebaiknya namun memerlukan penjagaan rapi dan bekalan ubat yang berterusan. Bagai sudah jatuh tangga, terhantuk pula keadaan keluarga kami. Bapa mendapat sakit tulang belakang setelah mendukung ibu ke hospital. Memang benar bahawa bapa tidak boleh melakukan kerja-kerja berat. Kini kedua ibu bapaku sakit dan memerlukan penjagaan rapi dan ubatan yang mencukupi. Oh bulan, apakah yang harus aku lakukan? Aku berada di persimpangan dilemma. Kedua-dua jalan ini merintih memanggil namaku. Namun, maafkan aku ilmu. Memang aku sayangkanmu namun sayangku kepada kedua ibu bapaku ternyata lebih dari itu.

    Aku membantu keluarga aku dengan berniaga pada siang hari. Pada sebelah malam pula, aku menganyam tikar dan bakul untuk dijual di kedai kraftangan di kota. Segala pengorbanan yang aku lakukan ternyata berbaloi apabila ibu dan bapaku pulih daripada penyakit mereka.

    Kini, empat puluh lima tahun telah berlalu dan aku hanya mampu mngenang kembali peristiwa dulu. Aku tidak ingin anak-anakku menerima nasib yang sama denganku. Aku memberi pendidikan yang sempurna untuk anak-anakku. Kini, aku hanya mampu berdoa agar mereka menjadi insan yang berguna. Dan aku hanyalah  seorang lelaki tua yang duduk di anjung rumah di atas bukit.


Hitam Manis
Januari 2006



Bunuh Derita Ini

Kedamaian bayu yang membelai cukup mengasyikkan. Kehijauan nyata memberi ketenangan abadi kepada jiwa. Oh sentosa, dampingilah tubuh lemah ini agar kau menjadi sebahagian daripada diriku ini. Air yang berlari ceria itu sarat dengan anak-anak ikan comel yang sibuk bermain bahagia. Monyet dan siamang bergayutan pada pohon yang tersenyum ceria dan melindungi hidupan di bawahnya daripada panahan cahaya matahari yang panas membara. Kadang-kala terdengar siulan burung-burung diselangi dengan irama-irama alam mencipta melodi yang menghiburkan dan merancakkan suasana sepi rimba. Namun, bunyi sumbang telah merosakkan melodi indah.

Sungguh enak sekali buah di rimba ini bagaikan madu lebah yang pekat dan manis. Dalam keasyikan aku menikmati buah, kedengaran siren kecemasan berbunyi menggesa kami untuk lari ke tempat perlindungan. Sudah terlalu lama kami tidak mendengar teriakan kecemasan si siamang.

“Ada apa kau memberi amaran kepada kami? Janganlah kau sampaikan berita ngeri kepada kami. Cukuplah dengan penyeksaan batin kami melihat saudara kita di kampung sebelah terseksa” ujar pak gajah.

“Benar kata pak gajah itu. Kami semua telah bosan dengan karenah manusia yang mementingkan diri sendiri bagai enau melepaskan pucuk masing-masing. Tindak tanduk mereka nampaknya telah dikuasai oleh kegelapan ketamakan. Oh manusia, sedarlah kamu daripada lamunan indahmu” sambung abang beruang.

“Begini, semasa aku sedang bergayut pada pohon tualang, aku dapat melihat sekumpulan manusia sedang bersiap sedia untuk menerangkan hutan milik kita. Tergenggam erat pemotong pokok yang menggerunkan dan raksasa yang begitu besar. Rimba kita dalam bahaya!” tambah siamang.

Semua haiwan menggelengkan kepala tanda kesal atas perbuatan makhluk yang bernama manusia. Bukankah mereka ditugaskan untuk menguruskan alam ini berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah? Ke manakah sifat khalifahmu itu? Dan kini, mengapa kaummu juga yang menghancurkan alam ini? Bukankah manusia dan haiwan wajar hidup bersama saling menghormati hak masing-masing? Inilah nafsu ketamakan yang tak mampu kau kawal.

“Ayuh, jangan kita membuang masa. Mari kita bergegas ke tempat ke sana memberi amaran kepada saudara kita yang lalai dengan keindahan dunia” tegas aku memberi arahan. Ular yang sedang nyenyak tidur dikejutkan oleh gegaran yang ganas dan tidak berhati perut. Perlahan-lahan pokak yang selama ini gah berdiri kini mula tumbang menyembah bumi. Si nuri yang ternampak sang ular terjatuh itu segera menyelamatkannya dan membawanya ke tempat selamat dengan bantuan sayap keikhlasan.

Awas! Kekejaman nafsu ketamakan mula menghantui rimba suci ini. Habis pohon-pohon kematangan jatuh menghempap bumi. Oh Tuhan, tolonglah kami menentang kejahatan yang bereluasa saat ini. Kezaliman mereka terus berpanjangan meninggalkan kesan keperitan kepada bumi ini. Kami hanya mampu mendengar sedih jeritan kesakitan pokok yang rebah ke bumi. Siren kecemasan sekali lagi berbunyi.

“Pelanduk, saya mempunyai berita buruk kepada rimba ini. Semoga rimba ini tidak menangis. Kita kini telah kehilangan si nuri, penyelamat rimba yang banyak berjasa kepada rimba ini. Pemergiannya amat dirasai kita semua. Beliau ’pergi’ ketika menyelamatkan anak-anaknya yang baru menetas daripada dipanggang oleh kebuasan api. Beliau berjaya menyelamatkan anak-anaknya namun beliau terperangkap dalam kemaraan api ketika cuba melariakan diri” ucap siamang dengan nada kesedihan.

Semoga Tuhan merahmatinya. Adakah ini yang kau mahu wahai manusia? Puaskah engkau melihat anak-anak kecil itu membesar tanpa kasih sayang seorang ibu? Janganlah kerana kepentingan kau sendiri, pihak lain yang menerima padah akibat kecuaian kau sendiri. Janganlah kau mendustakan diri sendiri kerana kelak kau akan menyesal.

“Kita bersedih atas pemergian wira kita itu. Namun kita jangan mengalah. Kita masih boleh menentang mereka. Kita mempunyai rakan-rakan yang kuat dan bertenaga. Lihat sahaja pak gajah, abang beruang, dan tuan harimau. Manusia tentu akan melarikan diri ketakutan” kataku dengan semangat.

“Tapi jangan kau lupa wahai pelanduk. Mereka mempunyai peralatan yang cukup untuk menghantar kita ’pergi’ jauh dari bumi ini. Mungkin kau terlupa pelanduk. Tuan harimau yang kita sanjung itu telah tewas dalam tangan zalim manusia. Semangat yang kita ada tidak mencukupi. Kita memerlukan tidakan yang dapat merealisasikan impian kita” bantah siamang.

Tuan harimau? Ya, baru kini aku ingat. Manusia memang kejam. Mereka ratah kulit tuan harimau untuk dijualkan dalam pasaran gelap. Bukankah manusia bertanggungjawab telah mewartakan spesies harimau sebagai haiwan terancam. Wahai penegak keadilan, jalankanlah tugasmu dengan adil dan saksama. Hukumlah mereka yang telah melakukan dosa hina itu. Api kemarahan dan hujan kesedihanku bertambah apabila si belalang menyampaikan berita yang lebih buruk kepada kami.

“Pelanduk, hari ini saya terdengar perbualan manusia. Menurut mereka, pihak syarikat bersetuju untuk membina kilang memproses bahan kimia di tanah rimba kita yang telah dirampas itu” terang si belalang.

Dua tahun telah berlalu. Kilang itu telah siap dibina dan mula memuntahkan asap syaitan ke udara suci kami dan memuntahkan cecair toksik ke sungai indah kami. Kini tiada lagi anak-anak ikan yang bebas bermain. Yang tinggal hanyalah ikan-ikan yang dahulunya ceria, tenat dan menderita. Udara yang dulunya jernih kini menjadi gelap bagai malam tidak berpenghujung. Kami semua menderita manahan perit penderitaan. Namun mereka masih tidak sedar kesengsaraan kami. Apa yang bermain dalam minda mereka hanyalah keuntungan yang tanpa batasan. Wahai sisa-sisa pejuang terdahulu, janganlah engkau tewas dengan ketamakan nafsumu. Bangun dan tentanglah kejahatan syaitan di muka bumi ini. Jangan pudarkan harapan kami.


Hitam Manis
Januari 2006

Bumi Ini Milik Kita

“Pedih lagi perit jiwa menahan penderitaan batin yang menyiksa tanpa belas kasihan. Biar mata ini menyaksikan realiti kekejaman dunia ini yang rakus bagaikan harimau membaham mangsanya. Pergi kau durjana persetan. Nyah kau dari bumi suci ini dan hancur luluhlah setiap cebisan tubuhmu yang meratap sedih meminta belas kasihan. Titisan merah itu jelas meragut pangkal jiwaku hilang dalam kebuasan manusia.

    “Kuntom, cepat kau ke mari. Lekas” kata-kata itu nyata membangkitkan aku daripada lamunan kemarahan. Perlahan-lahan aku meningalkan balai polis itu bersama Jasamurni meninggalkan tubuh-tubuh kaku yang dihinggapi kaki-kaki hina lagi keji. Lantas aku menyentap tangan Jasamurni.

    “Jasa, tidakkah kau lihat bangsa kita dibunuh kejam oleh makhluk hina dan sial itu? Jangan jadi pengecut, Jasa. Masakan bapamu berjuang habis-habisan mempertahankan tanah tumpah darah kelahiran, inikan pula kau. Jangan biar ketakutan memenjara dirimu”.

   
“Kuntom, jangan kau anggap aku pengecut. Kau lihat mereka, bangsa kita, tumpas dengan besi terbang yang menembusi daging suci mereka. Kita melarikan diri bukan kerana kalah, tetapi kita akan menyusun strategi dan mengumpul tenaga untuk berlawan dengannya”. Benar kata-katamu Jasa. Ya, kami akan bersatu menentang kau penjajah. Kami menyusur denai-denai derita menuju ke tempat perlindungan orang kampungku. Semuanya hawa. Di sinilah tempat pengecut-pengecut itu menyembunyikan diri daripada tentera yang bagaikan semut tidak bertenaga. Dari jauh kelihatan tubuh-tubuh halus melangkah terhuyung-hayang ke tempat yang tidak berdestinasi. Kesedihan menyelubungi hati kalbu tatkala melihat bangsaku terseksa menderita di bumi mereka sendiri. Di mana kau wahai pejuang tanah air? Oh bumi, kau jawablah persoalanku ini.

    “Ke mari wahai anak bangsaku. Ambillah buahan ini yang baru kupetik dalam perjalanan ke sini. Inilah buahan yang tumbuh dengan air mata kesengsaraan kita semua. Janganlah kamu tidak berusaha wahai manusia. Berusahalah kamu dan jangan kamu tewas dalam tangan ketakutan dan kemalasan” jerit batinku dengan harapan menaikkan semangat mereka semua. Namun, seperti biasa, merreka hanya bersahaja dan membisukan mulut yang lesu tidak bermaya. Aku pergi ke kali untuk menagkap ikan.

    “Jangan kau terlalu mendesak mereka Kuntom. Mereka semua dalam keadaan tertekan dan trauma. Ada yang baru kehilangan keluarga. Mereka memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan keadaan baru ini ujar Jasa. Aku percaya, dalam hati mereka terkunci semangat yang membara setinggi gunung. Hanya menanti kunci kesedaran yang dapat membebaskan semangat ini. Dan jelas bahawa aku bukanlah kunci itu hanya kerana aku seorang wanita. Aku percaya, suatu hari nanti akan bangkitlah bangsaku menentang musuh durjana.

    Hari-hari berikut adalah hari yang biasa dan menjadi norma kehidupan. Namun hanya ketakutan telah merampas ketenangan hari indah. Rabu, aku  bersama jasa meredah hutan kedamaian untuk mencari secebis rezeki.

    “Lihat Jasa, pelanduk ini telah mengena jerat kita. Syukur ke hadrat Illahi kerana memberi sinar harapan unuk kami terus hidup dan berjuang demi agama, bangsa, dan negara yang suci ini” , tidak seperti biasa, Jasa tidak membalas kata-kataku ini. Sebaliknya telingaku dapat menagkap pekikan pertolongan . Jasa! Kau tidak apa-apa? Aku terus memecut ke titik pekikan itu.

    Terpaku mataku melihat sukujur tubuh bernafas dilumuri dengan dakwat merah. Jasa dan aku bekerjasama mengusung tubuh bernyawa itu ke tempat perlindungan kami. Dengan pantas, Mak Bibah, seorang pengamal perubatan tradisional menerpa ke arah adam itu dan memberi rawatan yang sebaiknya. Maafkan kami wahai tubuh berdarah. Kami tidak dapat menyediakan perubatan moden yang sempurna seperti di kota-kota maju, sebaliknya hanya perubatan tradisional. Bukan kami enggan belajar ilmu itu, Cuma kami disisihkan dalam pelajaran. Sudah separuh hari lelaki ini tidak menyedarkan diri. Akhirnya, pergerakan jarinya membawa harapan kehidupan untuk lelaki ini.

    “Di manakah aku ini? Siapa kau?”.
   
    “Jangan kau ragu wahai lelaki cedera. Dirimu kini berada dalam jajahan selamat dalam tapak perlindungan kami. Nampaknya kecederaanmu hampir sembuh. Namaku Kuntom. Dirimu? Jangan kau takut sedangkan kita satu bangsa yang wajar saling menolong”.

    “Namaku Bohari. Aku berkhidmat dengan tanah air untuk memelihara kedaulatannya. Musuh kita telah melepaskan tembakan kejam tepat mengenai bahu kiriku. Syukur kerana ditakdirkan untuk kau menemui aku dan merawatku. Nampaknya aku masih boleh berjuang demi tanah air  tercinta ini”.

    Aku hanya tersenyum dalam ketika mendengar kata-katanya itu. Dalam dirimu itu penuh dengan niat suci sepertiku jua. Kita sehaluan. Permintaan aku agar Bohari dapat memberi ucapan untuk menaikkan semangat telah berjaya kerana dia adam dan aku hawa.

    “Wahai insan-insan yang bernama Melayu. Jangan kau berasa malu dipanggil Melayu kerana bumi ini milik kita. Jangan kau tewas dengan mereka. Sanggupkah kau melihat anak cucu kita hidup menderita dan melarat dalam tangan penjajah jepun itu?  Jangan kita asyik beromong kosong. Ayuh kita tunaikan kata-katamu itu. Nescaya kita akan menikmati kebebasan penuh senyuman tanpa batasan. Inilah masanya. Inilah saatnya. Mari kita bersatu menumpaskan mereka”. Ucapan Bohari diiringi dengan sorakan kemanusiaan sejati dan linangan mutiara kesedaran. Syabas Bohari!

    Perancangan teliti telah dibuat untuk menghalau Jepun dari bumi Masjid Tanah ini. Semuanya lengkap dan  bersedia. Jangan kau berani menjejakkan kaki kejimu lagi di bumi suci ini wahai jahanam. Nyah kau dari sini.

    Sekali lagi, bumi ini dibanjiri darah kator lagi hina yang kejam lagi keliru. Maafkan kami bumi kerana terpaksa merasa keperitan jiwa kami. Kau lihat wahai imperialis. Jangan kau impi ingin merampas bumi ini daripada anak jati Melayu. Inilah tanah kami membesar. Moga anak cucu kami bebas hidup bagai bangau yang terbang berkicauan. Majulah wahai bangsaku. Janganlah kau putus asa. Bangun dan terus membangun buktikanlah kepada dunia bahawa bumi ini milik kita.


Hitam Manis
Januari 2006